Recent Posts

P. Ramlee - Penarik Beca - 1955

Penarik Beca

Pengarah: Tan Sri Dr P. Ramlee
Syarikat Penerbit: Malay Film Productions Ltd
Bahasa: Bahasa Melayu
Kategori: Filem Cereka
Genre: Drama, Cinta
Klasifikasi: U - Untuk Tontonan Umum
Durasi: 106 Min
Tarikh Tayangan: 25 Okt 1955

Sinopsis 

AMRAN, penarek beca yang miskin telah dilanggani becanya oleh Azizah, anak gadis Orang Kaya Marzuki, berikutan pertemuan mereka ketika Amran menolong Azizah dari gangguan, Ghazali (buaya darat yang berada dalam perhatian Polis) bersama teman baiknya, Borhan. Orang Kaya Marzuki yang kedekut pada mulanya tidak setuju lebih-lebih lagi terpaksa membayar sewa langganan yang ditetapkan Azizah sebanyak 40 ringgit tetapi kerana mahu menjaga hati anak tunggalnya itu dia mengalah dan terpaksa bersetuju dengan bayaran tersebut tetapi hanya untuk bulan itu saja. “Lain bulan kira lain tau,” katanya. Kerana sikap kedekutnya, Orang Kaya Marzuki telah bertengkar dengan seorang tukang beca kerana mahu pergi ke Kampung Besi yang jauh dengan bayaran 25 sen sedangkan tukang beca mahukan seringgit 40 sen – satu bayaran dikira munasabah.

Oleh sebab sikap kedekutnya itu si penarik beca telah menyindirnya dengan kata: “Kan lebih baik Wak jalan kaki saja tak kena satu sen pun. Kalau tak beginilah, saya kasi Wak 30 sen 5 sen lebih. Saya duduk wak kayuh. Mau tak?” Sindiran tersebut menyebabkan Orang Kaya Marzuki bertambah marah dan mahu memukul penarik beca itu dengan tongkatnya tetapi tidak berjaya malah tongkatnya itu dicampak ke tengah jalan. Tambah penarik beca itu lagi: “Eh, Wak pelokek. Kalau pukul tiang telefon bolehlah. Ini orang tau”. Ketika Orang Kaya Marzuki mahu mengambil semula tongkatnya tiba-tiba datang kereta melanggarnya dan kebetulan pula yang melanggar itu Ghazali yang pernah menganggu Azizah.

Apabila Ghazali tahu yang Amran, penarik beca yang dilanggan becanya oleh Azizah, dia cuba memarahi dan menghina Amran dengan kata-kata kesat. Apabila Ghazali mempelawa menaiki keretanya untuk dihantar ke sekolah jahitan Azizah berkata: “Aku benci padamu Ghazali. Aku tidak suka kau menghina orang miskin. Dan lagi kau mesti ingat, kau tak ada hak memarahi dia”. “Aku ada hak sekarang. Bukankah bapak kau telah meletakkan kepercayaan kepada aku,” jawab Ghazali.  “Alah, kurang kuah lebih sudu,” kata Azizah menyindir. Kerana pandai bermuka-muka, Ghazali berjaya memikat hati Orang Kaya Marzuki dan kepercayaan yang diberikan itu telah diambil kesempatan oleh Ghazali untuk memisahkan Azizah daripada Amran.

Perhubungan Amran dan Azizah semakin erat. Dalam satu pertemuan di tepi pantai Azizah meluahkan perasaannya kepada Amran. Katanya: “Amran, tahukah kau dimana letaknya bahagia hidup?” jawab Amran: “Sepatutnya kaulah yang lebih tahu dalam soal ini, Azizah. Orang seperti aku ini masakan tahu apa rasa dan dimana letaknya bahagia hidup”. “Sebabnya,” Tanya Azizah. “Aku hanya tukang beca mencari rezeki dari upahan orang. Hidupku tak ubah seperti haiwan yang melata. Bukan seperti kau, kau serba mewah, kata Amran. Kata Azizah lagi: “Jangan salah sangka Amran, kaya miskin adalah sama. Kekayaan manusia itu hanyalah daki dunia. Ingatlah Amran tiap-tiap manusia berhak bahagia”.

Azizah menyatakan hasratnya kepada Amran untuk menemui ibunya. Pada mulanya Amran enggan tetapi atas desakan Azizah dibawanya juga. Alangkah hiba dan luruhnya hati Azizah melihat kedaifan hidup Amran dan ibunya lantas dia meminta supaya Amran bersekolah malam dengan perbelanjaan ditanggungnya. Sikap dan kebongkakan Ghazali menambahkan kebencian Azizah terhadapnya, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana Orang Kaya Marzuki suka kepadanya. Dan dengan fitnah yang ditabur oleh Ghazali mengenai Azizah dan Amran, Orang Kaya Marzuki mempercayainya lalu menghentikan Azizah melanggan beca Amran.

Oleh kerana kedegilan Azizah yang masih berhubung dengan Amran dan juga membalas dendam, Ghazali bertindak lebih jauh dimana dia telah mengupah orang-orangnya memukul Amran hingga pengsan. Namun begitu, tindakannya itu tidak melemahkan cinta Azizah terhadap Amran. Bagi mengelakkan Azizah terus membuat perhubungan dengan Amran, Ghazali telah mencadangkan kepada Orang Kaya Marzuki supaya Azizah dikahwinkan dengannya dan cadangan itu dipersetujui oleh Orang Kaya Marzuki kerana dia menyangka Ghazali orang berada dan dari keturunan baik-baik.

Ghazali tahu ke mana Azizah pergi lantas menyusul. Tiba di pondok buruk Amran, perkelahian pun berlaku di antara Amran dan Ghazali yang mana akhirnya pisau yang dibaling oleh Ghazali untuk Amran tercacak ke badan ibu Amran apabila dia cuba melindungi anaknya itu. Kerana ketakutan akibat perbuatannya itu, Ghazali melarikan diri dan pergi menemui Orang Kaya Marzuki dan meminta Orang Kaya Marzuki memberikannya 10,000 ringgit untuk dia melarikan diri. Tetapi Orang Kaya Marzuki yang kedekut itu enggan memberi dan tidak mahu bersubahat dengan apa yang telah dilakukan oleh Ghazali terhadap Amran dan ibunya.

Apabila Orang Kaya Marzuki enggan menolong, Ghazali mengambil sebilah keris yang terlekat di dinding dan mengugut akan membunuh Orang Kaya Marzuki yang mana mahu tidak mahu Orang Kaya Marzuki terpaksa membuka peti besinya dan memberikan 10,000 ringgit, tetapi Ghazali mengambil semua yang ada dalam peti besinya itu. Bagaimanapun di saat Ghazali mahu keluar dari rumah itu untuk melarikan diri, Amran sampai bersama Azizah. Sekali lagi perkelahian hebat berlaku yang mana akhirnya Ghazali tewas manakala Amran pula jatuh pengsan.

Sekarang barulah Orang Kaya Marzuki sedar atas kesilapan dan menyesal atas sikapnya menghina Amran dan ibunya yang miskin.  Katanya ketika berada di rumah Amran: “Selama ini saya menyangka tiap-tiap yang memancar itulah intan.  Sekarang saya sudah silap, kaca pun saya sangka permata”. Bagi menebus dosanya terhadap Amran dan ibunya serta terhutang budi pula kepada Amran, Orang Kaya Marzuki menyatakan hasratnya untuk mengambil Amran sebagai menantunya untuk menjaga harta dan juga anaknya, Azizah.  Sambil Amran dan Azizah berada di sisinya, Orang Kaya Marzuki berkata lagi: “Suatu hari yang baik nanti kau berdua akan ku satukan”.

Cast 

Tan Sri Dr P. Ramlee: Amran (Pelakon Utama)
Datin Saadiah: Azizah (Pelakon Utama)
Salleh Kamil: Ghazali (Pelakon Pembantu)
Udo Omar: Orang Kaya Marzuki (Pelakon Pembantu)
Saamah: Ibu Amran (Pelakon Pembantu)
Habsah Buang: (Pelakon Tambahan)
Omar Suwita: (Pelakon Tambahan)
Fatimah Osman: (Pelakon Tambahan)
Mohd Hamid: (Pelakon Tambahan)
Shariff Dol: (Pelakon Tambahan)
Kemat Hassan: (Pelakon Tambahan)
Hashimah Yon: (Pelakon Tambahan)
Zainon Fiji: (Pelakon Tambahan)

Crew 

Tan Sri Dr P. Ramlee: Pengarah
Tan Sri Dr P. Ramlee: Cerita Asal
S. Sudarmaji: Cerita Asal
Tan Sri Dr P. Ramlee: Lakon layar
J. S. Anthony: Pengarah Seni
S. Hassan Sahab: Pembantu Pengarah
Tan Sri Dr P. Ramlee: Muzik
Kwek Chip Jian: Pengurus Produksi
Tan Sri Dr P. Ramlee: Komposer

Source: http://cinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Penarik_Beca_517

https://www.youtube.com/watch?v=TXbKphDt8L8

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright © 2014 - Film Melayu - Supported by MP3 Melayu